Kes saya tangguh hari ini sahaja, tidak digugurkan sama sekali - Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR, 2 Mac -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbicaraan mahkamah yang membabitkan dirinya hanya ditangguhkan untuk hari ini sahaja, dan sama sekali tidak digugurkan.
Beliau berkata ia akan disambung semula seperti biasa esok.
"Kes ini tidak digugurkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.
"InsyaAllah, saya akan membersihkan diri saya di mahkamah tanpa pengguguran kes," jelasnya.
Ahmad Zahid kini menghadapi perbicaraan membabitkan 47 tuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya," kata beliau.
-- Bernama