Lebih 3,000 rakyat Malaysia terkandas di luar negara dibawa pulang
KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Seramai 3,201 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sumbangan parti politik dan pihak swasta, setakat ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar, bagaimanapun berkata 4,374 rakyat Malaysia dilapor masih terkandas di 56 negara, dengan jumlah paling ramai di India membabitkan 2,156 orang.
Antara negara lain yang merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas ialah Indonesia (680 orang); Thailand (337); Australia (226); New Zealand (153); Arab Saudi (121); Pakistan (128); Filipina (54); Sri Lanka (50) dan Emiriah Arab Bersatu (43).
"Jumlah mereka yang terkandas di India dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dibawa pulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas," katanya pada sidang media menerusi media sosial mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata 179 orang yang terkandas di Amritsar, India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.50 malam, Isnin (30 Mac), manakala 144 tiba dari Myanmar petang ini, melalui pesawat khas.
-- Bernama