Majlis Islam Sarawak masih pantau Covid-19


KUCHING, 13 Mac: Majlis Islam Sarawak (MIS) belum lagi ada mengumumkan sebarangan arahan kepada umat Islam di negeri ini untuk tidak mendirikan solat Jumaat di masjid bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian dan umat Islam di negeri ini tidak dihalang mendirikan solat Jumaat di masjid dan mereka hanya tidak digalakkan menghadiri perhimpunan besar-besaran.

"Bagi solat Jumaat (di masjid), setakat ini selain dari negeri Perlis, negeri lain di Malaysia ini masih membenarkannya. Sekiranya diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa wabak ini diluar kawalan baharulah akan ada arahan lain mengenai solat Jumaat,"katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Taman Islam Darul Hana bersebelahan Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ini kerana ada berlaku kekeliruan semalam kerana arahan tidak mengadakan solat Jumaat di masjid yang tersebar adalah dari Majlis Agama Islam Singapura yang mengeluarkan arahan itu bagi semua masjid di Singapura.

"Untuk kita (umat Islam) di Sarawak ini, masih macam biasa, ada solat Jumaat di masjid kita termasuk di Majid Darul Hana ini,"katanya.

Namun, beliau menasihatkan umat Islam bersembahyang solat Jumaat di masjid mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik dengan mencuci tangan selepas bersalaman serta "sosial distancing"iaitu ada jarak sentuhan fizikal. 

Berikutan itu, pihaknya menyarankan semua masjid dan surau di negeri ini menyediakan pencuci tangan atau hand sanitizer di pintu masuk atau tempat tumpuan ramai dalam masjid dan surau.

"Sekiranya ada jemaah kita yang tidak sihat, mereka diminta tidak bersama jemaah yang lain ( di masjid) untuk mengelakkan jangkitan,"katanya.

Selain itu, Dr Junaidi juga mengesahkan DBKU akan terus mengadakan bazar Ramadan bulan depan walaupun berlakunya wabak terbabit dengan dua bazar itu terletak di Medan Niaga Satok dan juga Medan Niaga Semarak berdekatan Kampung Gita.

"Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) akan merasmikan bazar Ramadan DBKU di Kubah Ria, Medan Niaga Satok pada puasa hari pertama, manakala saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Tupong) Fazzruddin Abdul Rahman hari itu akan merasmikan bazar Ramadan DBKU di Medan Niaga Semarak,"katanya.

Katanya DBKU juga akan mengadakan tiga lagi bazar Ramadan dengan pihak swasta iaitu di Sukma Ria, Bandar Baru Semariang dan MetroCity di Petra Jaya serta mengalakkan orang ramai memakai topeng muka ke semua bazar itu sekiranya demam atau selsema serta sentiasa membasuh tangan.


keterangan gambar;

1. Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ( tiga dari kanan) melihat jenis pokok yang akan digunakan dalam Projek Taman Islam Darul Hana bersebelahan Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin, Petra Jaya, di sini, hari ini.


2. Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ( lima dari kiri) mengadakan lawatan ke tapak Projek Taman Islam Darul Hana bersebelahan Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin, Petra Jaya, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel