Majlis kahwin tidak dibenarkan
KUCHING: Majlis perkahwinan, majlis tahlil tidak dibenarkan kerana ia suatu perhimpunan sosial di bawah Perrintah Kawalan.
Menurut Peruntukan Seksyen 11(4) Akta 342 Seksyen 24(a) Akta yang sama menjadikan keingkaran larangan yang akan berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 3020 adalah satu kesalahan jenayah.
Mereka yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Majlis Keselamatan Negara dalam notis berkata, pihaknya bertanggungjawab menyelaraskan dasar-dasar berkaitan keselamatan negara dan arahan mengenai langkah-langkah keselamatan termasuk gerakan-gerakan keselamatan, ketenteraman awam dan perkara-perkara melibatkan keselamatan.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.
Beliau berkata, perintah kawalan ini dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
"Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
"Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat
Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020," katanya dalam perutusan khas mengenai COVID-19.
Perdana Menteri berkata, perintah kawalan kedua iaitu sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Katanya, bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani
pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self
quarantine) selama 14 hari.
Menurutnya, perintah kawalan ketiga sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
"Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk
sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz
dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.
"Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta
serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air,
elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas,
bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi,
bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan,
pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan," katanya.