Mayat pencari ketam ditemui tersangkut di pokok bakau

KUCHING: Kehilangan seorang pencari ketam terjawab apabila mayatnya ditemui berhampiran sungai Tanjung Embang Matang, di sini, malam tadi.

Mayat Aswad Mostapha, 39, dari Batu 10 Jalan Matang ditemui tersangkut di pokok bakau oleh seorang penduduk kampung ketika mencari mangsa sekitar jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kehilangan mangsa yang disedari hilang sejak tiga hari lalu.

"Hasil soal siasat ke atas ibu mangsa, Maznah Dasar,64, memberitahu mangsa hilang selepas keluar mencari ketam di pesisir sungai Tanjung Embang berdekatan kawasan Kampung Matang dengan berjalan kaki.

"Anaknya keluar  keluar berseorangan mencari ketam dan yang merupakan sumber pendapatannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,mangsa tinggal bersebelahan dengan rumah ibunya sejak berpisah dengan isteri dan mempunyai dua anak.

"Mayat mangsa telah dibawa naik ke darat menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Mayat kemudian diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,"jelasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel