Minuman keras bernilai RM240,350 dirampas

SANDAKAN, 11 Mac -- Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran merampas minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM240,350 di sebuah bangunan stor tidak bernombor di Jalan Labuk Lama dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintahnya ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun ditahan bersama 175 karton mengandungi sejumlah 4,200 tin dan 14 kotak mengandungi sejumlah 168 botol minuman keras serta sebuah van dianggarkan bernilai RM10,000.
“Bertindak atas maklumat orang awam kira-kira 10 pagi semalam, sepasukan polis daripada Tiger Platoon Batalion 20 PGA Beluran telah pergi ke lokasi untuk membuat serbuan penjualan arak seludup atau tidak bercukai.

“Suspek yang merupakan penyewa bangunan stor itu mengaku menjual minuman keras tanpa cukai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata suspek dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Kes penjualan minuman keras tidak bercukai itu merupakan yang kedua digagalkan oleh Batalion 20 PGA Beluran bulan ini selepas serbuan yang dilakukan di Kampung Gamboran, Telupid membabitkan minuman keras dianggarkan bernilai RM249,850 dan rokok kira-kira RM313,427.

Dalam serbuan pada petang 6 Mac itu, seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun diberkas bersama dua pekerja lelaki iaitu seorang warga Filipina berumur 48 tahun dan seorang lagi warga Indonesia berumur 40 tahun.

-- Bernama

Gambar hiasan
LihatTutupKomentar
Cancel