Muhyiddin umum langkah Malaysia urus situasi Covid-19 malam ini


PUTRAJAYA, 16 Mac -- Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan malam ini bagaimana Malaysia akan mengurus situasi COVID-19.

Perdana Menteri berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas mengenai COVID-19 malam ini dengan kementerian dan agensi yang terlibat, di bawah Majlis Keselamatan Negara, untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani krisis tersebut.

"Kita memandang serius perkara ini, kita telah memasuki gelombang kedua masalah ini dan sememangnya, jumlah kes meningkat.

"Jadi, kita akan mengumumkan malam ini untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia secara umum bagaimana kita akan menguruskannya (COVID-19)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga menteri kanan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed turut hadir pada sidang media itu.
- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel