Orang tua didenda RM400 meludah butang lif
BALIK PULAU, 17 Mac -- Gara-gara meludah di tempat awam, seorang penjaga pusat snuker hari ini didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret sini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak beretika itu.
Majistret Nur Azzuin Abdul Moati memerintahkan Ang Hock Beng, 63, dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Ang didakwa meludah di butang nombor lif Bomba di Flat Idaman Melur, Bayan Lepas sini pada 15 Mac pada 11.45 pagi.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbuatan tertuduh dalam lif itu telah menjadi tular dan beberapa laporan polis telah dibuat oleh beberapa orang awam.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh itu boleh memudaratkan dan menimbulkan kegusaran orang awam ketika negara sedang menghadapi penularan COVID-19.
Peguam S. Bommy daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia yang mewakili Ang, memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana tertuduh menyesal dengan perbuatannya itu.
-- Bernama