Pembantu rumah bunuh majikan ditangkap
JOHOR BAHRU, 22 Mac (Bernama) -- Dua pembantu rumah warga Indonesia yang diburu kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh majikan pada Rabu lepas telah diberkas polis di sebuah restoran di Damansara, Petaling Jaya dekat Selangor, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kedua-dua suspek, yang merupakan pasangan suami isteri dan masing-masing berusia 21 tahun, ditahan bersama-sama seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun pada kira-kira 4.30 pagi.
Beliau berkata polis masih menyiasat hubungan kedua-dua suspek dengan lelaki itu.
Katanya kejayaan tangkapan kedua-dua suspek utama kes pembunuhan seorang wanita warga emas berusia 73 tahun itu adalah hasil kerjasama pihak media yang telah menyebarkan maklumat.
“Hasil soal siasat awal yang dilakukan mendapati suspek mengaku terlibat di dalam kejadian itu. Motif bunuh adalah kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa,” menurutnya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
-- LAGI
POLIS-BUNUH 2 (AKHIR) JOHOR BAHRU
Ayob Khan berkata kenderaan milik mangsa, Toyota Alphard putih, yang dilarikan kedua-dua suspek ketika kejadian, ditemui pihak polis di Taman Nusa Bestari dekat Skudai.
Beliau berkata ketiga-tiga warga Indonesia itu kini ditahan reman selama seminggu mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
Pada Rabu lepas, mangsa ditemukan mati di ruang tamu rumahnya di Kulai dengan kesan kecederaan di bahagian kepala.
Kematian mangsa disedari jiran dan anak lelakinya yang berusia 40-an setelah warga emas itu gagal dihubungi.
Selain kenderaan, beberapa barang kemas milik mangsa turut dipercayai dilarikan kedua-dua suspek.
-- BERNAMA