Richard Riot sah milik GPS


KUCHING: Spekulasi  Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot 'lompat parti' hanya khabar angin liar daripada Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden SUPP tersebut bersama Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikediamannya di Kuala Lumpur petang semalam.

Selepas itu Riot turut menyertai perjumpaan semua Ahli Parlimen GPS bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg malam tadi yang turut dihadiri Presiden SUPP, Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

“Saya masih ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP),” kata Datuk Seri Richard Riot Jaem sekali gus menafikan laporan bahawa beliau sudah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas Menteri Sumber Manusia itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyertai PKR.

“Berita bahawa saya menyertai PKR adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching sebagai maklum balas terhadap laporan bahawa beliau sudah menyertai PKR.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mendakwa Richard Riot Jaem menyertai parti PKR.

"PKR dengan rasminya mengalu-alukan kemasukan YB Datuk Sri Richard Riot anak Jaem, (P.199) ke dalam PKR. "Salam reformasi!" tulisnya.
LihatTutupKomentar
Cancel