Saya setia bersama Tun, Baru Bian
Baru dalam kenyataan hari ini berkata, beliau dan beberapa rakan seperjuangan lain telah berikrar menyokong Dr Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan negara.
Beliau berkata, namun tindakan menyokong itu menyebabkan pemecatan rakan seperjuangannya daripada parti pada 26 Februari.
“Kami tidak pernah berpaling tadah daripada menyokong Tun sehingga 28 Februari 2020 semasa mesyuarat di kediaman Tun. Kami difahamkan beliau tidak akan mempertahan tugas sebagai pemimpin negara ini.”
“Sehubungan itu kami kemudian memutuskan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri," katanya.
Namun, Baru memberitahu sokongan kepada Dr Mahathir diteruskan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan bertarikh 29 Februari 2020 yang mengatakan bahawa beliau (Dr Mahathir) bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri.
"Pendirian saya amat jelas apabila saya memberitahu Tun tentang sokongan saya kepada beliau untuk memimpin dan memahami situasi getir ini, kami hanya mengharapkan restu daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baru berterima kasih kepada penyokong, keluarga, rakan dan rakyat Malaysia di atas kesabaran dan berharap semua dapat bertenang dalam menghadapi kebinggungan politik sekarang.
“ Minggu ini penuh dengan huru-hara politik yang sangat meletihkan, namun, namun saya mengesahkan sokongan berterusan terhadap Tun Mahathir untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Baru berkata, sepanjang 21 bulan bekerja di bawah kabinet Tun Mahathir sebagai Menteri Kerja Raya, banyak pencapaian diperolehi dalam membawa Sarawak ke arah yang lebih baik.
“Tun Mahathir juga berkongsi Wawasan Kemakmuran Bersama selepas memimpin negara. Saya mendapat sokongannya untuk memulakan beberapa projek utama untuk Sarawak selepas 50 tahun.
"Ini termasuk Jalan Penghubung Sarawak Sabah, Lebuh Raya TransBorneo, sekolah usang, baik pulih hospital dan sebagainya," tegasnya.
Selain itu, penjimatkan dari pembatalan Rakan Pelaksana Projek (PDP)sebanyak RM2.86 bilion yang boleh digunakan untuk kebaikan Sarawak.
“Di bawah Tun Mahathir juga, Sarawak mendapat peruntukan yang besar dalam Belanjawan Negara 2020.
"Marilah kita berdoa untuk Tun dan negara yang kita cintai. Saya sentiasa merendah hati demi kepentingan rakyat kita. Tuhan memberkati," katanya.