Sindiket dadah tumpas, polis Selangor rampas dadah bernilai RM4.74 juta


SHAH ALAM, 5 Mac -- Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dengan penahanan tiga individu termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.74 juta dalam dua serbuan berasingan, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ampang Jaya, dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata dalam serbuan pertama sekitar pukul 11.30 pagi, polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 19 tahun serta seorang wanita berumur 21 tahun, yang kesemuanya warga tempatan di satu unit kondominium di sekitar Ampang Jaya, dekat sini dan hasil penggeledahan kediaman itu menemukan pelbagai jenis dadah.

“Polis menjumpai 1,680 botol kaca lut sinar berisi cecair disyaki erimin 5 dengan isi padu keseluruhan 16,800 mililiter, 66 bungkusan syabu seberat 23.53 kilogram (kg) dan enam bungkus plastik lut sinar dadah jenis heroin seberat 1.48 kg yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2.55 juta,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek berumur 24 tahun dipercayai dalang sindiket itu dan suspek wanita adalah kekasihnya manakala seorang lagi suspek lelaki adalah adik kepada dalang terbabit.
 
Noor Azam berkata hasil soal siasat ke atas dalang sindiket itu, polis menyerbu lokasi kedua di satu unit pangsapuri di kawasan Damansara Damai, Petaling Jaya kira-kira 12 jam selepas itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas rumah tanpa penghuni terbabit menemukan pula empat kotak coklat berisi 165 bungkusan disyaki syabu dianggarkan seberat 43.7 kg bernilai RM2.19 juta.

“Hasil saringan air kencing mendapati dalang sindiket itu positif dadah jenis syabu namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kekasihnya pula mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan adik dalang sindiket yang merupakan penuntut sebuah universiti di China juga tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Noor Azam berkata kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel