Solat Jumaat di Sarawak tangguh


KUCHING:  Majlis Islam Sarawak (MIS) mengumumkan menangguhkan sementara semua aktiviti masjid dan surau di seluruh negeri termasuk solat Jumaat dan solat bermula 17 hingga 31 Mac.

Setiausaha MIS, Ustaz Khalidi Ibrahim berkata, pelanjutan atau penamatan tempoh 15 hari adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan diumumkan dari semasa ke semasa. 

"Gugur tuntutan wajib mengerjakan Solat Jumaat, sebaliknya hanya wajib
menunaikan Solat Fardhu Zohor sebanyak empat (4) rakaat di kediaman
masing-masing sama ada secara berjamaah dalam kalangan isi rumah sahajaatau secara bersendirian sepanjang tempoh penangguhan ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Azan masih perlu dilaungkan pada setiap waktu solat di masjid dan surau sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, hanya imam, bilal dan marbot sahaja dibenarkan solat berjamaah di masjid atau surau kecuali yang mempunyai simptom Covid19 (demam, batuk, kesukaran bernafas dan lain-lain).

Katanya, dalam tempoh tersebut, semua masjid dan surau di negeri Sarawak
dikehendaki untuk membuat operasi pembersihan dan disinfeksi (nyah kuman)
serta memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai
langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan.

"Operasi pembersihan dan disinfeksi hanya boleh dilaksanakan oleh tidak lebih daripada 20 orang.

"Adalah menjadi satu kewajipan SYARA’ ke atas setiap individu muslim dan
muslimah untuk mematuhi ketetapan ini serta arahan dan panduan yang
dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengekang
penularan wabak Covid-19," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga juga menyeru agar umat Islam memberikan sokongan dan bantuan kepada pesakit Covid-19 serta ahli keluarganya.
 
"Majlis Islam Sarawak menasihatkan agar umat Islam tidak menyebar mana-mana berita yang belum disahkan kesahihannya lebih-lebih lagi melibatkan penularan wabak Covid-19 yang boleh menyebabkan keadaan panik dan tidak terkawal," ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel