Tahap dewa bukan syarat jadi PM
Tahap dewa bukan syarat jadi PM
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata kesabarannya kini sehingga ke tahap dewa berikutan perjanjian untuk dilantik Perdana Menteri ke-8 dikhianati.
Ada beberapa perkara di sini yang boleh diulas mengenai bab dewa, adakah dia manusia hebat yang boleh menyelamatkan semua masalah Malaysia serta merta?
Adakah juga segala wang ringgit yang dipercayai disorok diluar negara serta merta boleh masuk ke perbendaharaan Malaysia?
Atau yang paling ajaib adakah seluruh umat Melayu akan membubarkan parti politik masing-masing demi bersatu di bawah Anwar?
Dan katanya kegagalan menjadi PM kerana dikhianati?
Sebelum mengulas lanjut, mari kita perhalusi konteks pengkhianat.
Pertamanya mana mungkin dua orang yang tidak memiliki sesuatu perkara boleh berjanji untuk bertukar hak milik yang sahihnya bukan hak mereka.
Analoginya jika kita meminjam tukul besi daripada jiran, dan ada jiran lain yang mahukan tukul itu selepas kita guna.
Tertibnya, perlukah si peminjam memberikan terus tukul tanpa memberitahu kepada pemilik asal tukul itu?
Dari segi adat Melayunya sesuatu perkara haruslah diserahkan kepada pemilik asal terlebih dahulu.
Kemudian terpulanglah kepada tuannya untuk menentukan siapa seterusnya yang akan diberi pinjam tukul itu.
Sebaliknya sekarang dimomokkan perjanjian antara peminjam dan peminjam tukul itu telah dikhianati tetapi bagaimana pula wujudnya khianat sedangkan tukul itu milik orang lain.
YDPA sebagai tuan 'tukul' atau tuan tanah dalam Perlembagaan Persekutuan untuk berkuasa menentukan siapa yang layak menjadi PM. Tidak perlu dipertikaikan lagi.
Jawatan PM bukanlah semudah ABC untuk diambil alih sesiapa, sebagaimana sebuah syarikat perdagangan.
Siapa yang lebih khianat? Pengkhianat parti, pengkhianat rakyat, pengkhianat agong atau pengkhianat negara?
Saksikan semula rakaman angkat sumpah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, rakaman angkat sumpah menteri-menteri PH dihadapan YDPA.
Berbunyi "bahawasanya saya tidak akan menzahirkan kepada sesiapa perkara-perkara rahsia yang dibawa ke pengetahuan saya yang akan saya ketahui dan tidak akan beritahu sesiapa yang lain melainkan dengan khas untuk YDPA.
Saya juga berjanji untuk mempertahankan Perlembagaan dan memelihara kepentingan Malaysia.
Sumpah ini dilafaz dua kali sebaik angkat sumpah Ahli Parlimen dan juga angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri.
Sejarah sumpah ini panjang, tetapi yang paling mudah diingati ialah sumpah Puteri Gunung Ledang, sehingga ke hari ini Melaka tidak beraja dan sumpah Mahsuri, Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh generasi.
Jadi sekarang siapakah yang sudah mengkhianati sumpah jawatan 22 bulan lalu iaitu sejak PH memegang kuasa? Itulah pengkhianatan sebenar.
Memotong peruntukan sekolah kebangsaan dan sekolah agama, menutup Institut Perguruan atas alasan menjimatkan wang, mempertikaikan tulisan Jawi, membekukan pengambilan penjawat awam dan banyak lagi yang dianggap pengkhianatan terhadap sumpah yang dilafazkan.
Atas pengkhianatan itu mereka sudah menerima kifarah atau tulah daripada bumi berdaulat ini.
Contohnya mereka tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan bodoh yang memalukan diri sendiri, memanipulasi fakta mengenai penjualan aset negara serta jumlah hutang sebenar negara.
Ibarat mereka menelanjangkan diri sendiri dengan perangai rakus, tamak dan bimbang kehilangan jawatan serta kedudukan sesama dalam kes menandatangani surat akuan bersumpah (SD) memilih PM baru-baru ini.
Rakyat juga melihat bagaimana kuasa politik disalahgunakan sehingga menjadikan polis sebagai 'hunting dog" mereka, selain tindakan bekas Peguam Negara yang memutuskan pembebaskan militan LTTE yang mengakui dia adalah lantikan politik.
Sekaligus tindakan itu dilihat sebagai melanggar sumpah jawatannya untuk melindungi dan mempertahankan undang-undang negara.
Ahli Parlimen dianggap 'law maker', malangnya mereka jahil akan fungsi sebenar dewan yang mulia iaitu Parlimen.
Apa yang jelas mereka mengkhianati rukun negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan negara apabila secara berterusan mempertikaikan keputusan YDPA.
Jadi usahlah disebut mengenai kesabaran tahap dewa jika bertindak sebaliknya menjadi pencetus kemarahan rakyat dengan sandiwara politik yang tidak berpenghujung.
*kredit gambar mStar
**Penulis baru sahaja diberhentikan oleh Berita Harian menerusi skim pengecilan operasi dan sedang menghadapi pertuduhan kerana menyuarakan kebimbangan isu COVID-19 di mahkamah. Sudah memenangi puluhan anugerah kewartawanan termasuk Anugerah Kajai dan dinobatkan sebagai Wartawan Rakyat oleh Sultan Pahang yang kini Yang di-Pertuan Agong.
*** Tulisan ini adalah luahan peribadi wartawan yang tidak mewakili pendirian dan pandangan Gago Daily.