Tangan ghaib hasut rakyat turun berhimpun?
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
Desas desus mengenai akan berlakunya perhimpunan membantah perlantikan Perdana Menteri, bukan pilihan Pakatan Harapan (PH) sudah lama didengari oleh rakyat bawahan.
Mengikut sejarah, perhimpunan jalanan sedemikian dimulakan oleh pihak reformasi pro PKR dan DAP sejak tahun 1998 lagi dan kebanyakan pemimpin PH yang pernah merasai kuasa 22 bulan lalu itu juga orang yang sama berada di jalanan menerusi beberapa siri perhimpunan reformasi dan Bersih sebelum ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada petang 29 Februari sebagai Perdana Menteri ke lapan yang mengundang kejutan kepada puak-puak yang sedang merangkak-rangkak mahu masuk kembali ke dalam kabinet.
Puak-puak ini digugurkan daripada jawatan masing-masing setelah bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohammad meletak jawatan serta merta pada 24 Februari lalu.
Percaturan itu menyebabkan harapan puak yang berhasrat menjadi Perdana Menteri semakin nipis apatah lagi kuasa mereka sudah ditarik balik.
Kuasa sepenuhnya dan mutlak terletak pada YDPA sebagaimana kata Tun M dan semua mereka supaya menyerahkan sebulat-bulatnya keputusan kepada kebijaksanaan YDPA.
Bagaimanapun setelah YDPA membuat penilaian dan keputusan kenapa boleh pula wujud bantahan puak-puak berkenaan?
Mengikut pemantauan pasukan sukarelawan bermotosikal mereka mendapati kira-kira 250 orang berhimpun
di Dataran Merdeka.
Tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan sukarelawan yang mengambil tindakan pencegahan awal memastikan peserta tidak melampaui batas.
Bagaimanapun agak mengejutkan hasil pemantauan mendapati 90 peratus peserta adalah mereka yang berusia 25 tahun ke bawah, usia di mana tidak cukup pengetahuan sepenuhnya tentang Perlembagaan dan undang-undang negara.
Polis sudah beri amaran kepada rakyat supaya menerima keputusan YDPA dengan lapang dada tetapi didapati wujud perbuatan khianat menghasut belia untuk turun membantah.
Polis juga mengeluarkan kenyataan sedang membuka kertas siasatan ke atas peguam wanita, Fadiah Fatwa Fikri kerana mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Turun ke jalan: Demokrasi Mati’ dalam akaun laman sosial miliknya serta mengajak dan menghasut rakyat untuk berkumpul di Dataran Merdeka semalam.
Fadiah pada 2018 pernah disiasat polis kerana mengeluarkan kenyataan di Facebook mendakwa sistem beraja atau monarki “sudah tidak boleh dipertahankan” dan telah “lapuk ditelan zaman” bagaimanapun anehnya kes itu tidak sampai didakwa di mahkamah walaupun menimbulkan kebimbangan awam serta hasutan membenci YDPA.
Tindakan tangan ghaib menghasut rakyat, memperalat anak-anak muda mempertikaikan tindakan YDPA adalah satu penghinaan terhadap Majlis Raja-raja sebagaimana kempen golongan tangan ghaib yang mahu menghapuskan kuasa raja sebelum ini.
Sehubungan itu, polis dinasihatkan menjalankan siasatan yang telus, mencari siapa tangan ghaib yang menghasut serta mendakwa orang yang sepatutnya kerana tindakan khianat kepada YDPA yang sudah diberi mandat jelas.
*Penulis adalah penerima Ahli Mangku Negara oleh YDPA, Tokoh Wartawan Rakyat oleh Sultan Pahang dan Penerima Anugerah Kajai 2014 oleh MPI