Terapung 15 jam di laut guna tin biskut
KOTA TINGGI, 24 Mac -- Seorang nelayan warga tempatan terapung selama 15 jam di laut dengan hanya berpaut pada tin biskut sebelum berjaya diselamatkan oleh orang awam di kedudukan tiga batu nautika timur Sedili Besar, Tanjung Sedili, dekat sini, pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata mangsa dikenali sebagai Ayub Musa, 35, seorang awak-awak sebuah bot nelayan tempatan dipercayai terjatuh ke laut pada sekitar pukul 5 petang Ahad tanpa disedari oleh rakan sekerjanya yang lain.
“Mangsa yang terjatuh sempat berpaut pada tin biskut yang ditemui terapung di laut serta bernasib baik telah dijumpai oleh nelayan tempatan pada pukul 8 pagi semalam dalam keadaan lemah.
Mangsa kemudiannya dibawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili dan seterusnya ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Aminuddin mengingatkan komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dalam menghadapi wabak COVID-19 dengan menjaga kebersihan diri seperti sentiasa mencuci tangan, memakai topeng muka, membuat persediaan yang wajar untuk ke laut dan sebagainya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata pemantauan berterusan pihak Maritim Malaysia sepanjang PKP yang bermula pada 18 Mac lepas juga menunjukkan berlaku penurunan aktiviti laut di perairan Johor Timur apabila hanya aktiviti perkapalan komersil dan penangkapan ikan oleh nelayan berlesen sahaja dibenarkan dan segala aktiviti bersifat reakreasi termasuk memancing adalah dilarang sepanjang PKP.
"Operasi bagi memastikan PKP terlaksana dengan baik bukan sahaja di darat tetapi di laut juga dititik beratkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selain daripada tugas penguatkuasaan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat di Zon Maritim Malaysia," katanya.
--Bernama
