Tiada lagi senyuman Ronaldinho sejak dipenjara


RIO DE JANEIRO, 30 Mac -- Riak wajah Ronaldinho yang sering tersenyum sebelum  ini kini 'hilang', selepas tiga minggu berada di penjara Paraguay, menurut seorang daripada beberapa individu yang melawatnya.

Agensi berita Xinhua melaporkan bintang bola sepak Brazil itu dan abangnya, Roberto Assis, ditahan di sebuah penjara dekat Asuncion sejak 6 Mac lalu kerana menggunakan pasport palsu.

Pihak berkuasa tempatan, melarang pelawat ke kemudahan itu disebabkan wabak COVID-19 tetapi pengecualian diberikan terhadap penyerang antarabangsa Paraguay, Nelson Cuevas yang juga kawan baik Ronaldinho.

"Ronaldinho sedih, dia tidak gembira," lapor akhbar Globo memetik kenyataan Cuevas.

"Dia terkenal dengan senyuman dan sikap bersahaja. Tetapi senyumannya sudah hilang," katanya.

Cuevas yang mengumpul 41 cap bersama pasukan kebangsaan Paraguay berkata, perbualannya kira-kira lima atau enam jam dengan Ronaldinho meyakinkan beliau bahawa pemain yang menjulang Piala Dunia 2002 itu tanpa sedar menjadi mangsa komplot 'orang jahat'.

"Abangnya kenal (mereka). Dia tidak bersalah tetapi kini dia terpaksa berdepan tuduhan jenayah kerana menggunakan dokumen palsu."

Ronaldinho dan Assis pergi ke Paraguay pada 4 Mac untuk menyertai acara kebajikan kanak-kanak dan mempromosi buku baharu.

Pasangan itu kemudiannya ditahan apabila pihak berkuasa menyedari mereka memasuki negara itu menggunakan pasport palsu.

Mereka menafikan sebarang salah laku dan berkata, mereka diberikan dokumen perjalanan itu sebagai hadiah, ketika di lapangan terbang antarabangsa Asuncion.

Hakim menolak permohonan adik beradik itu untuk menjalani tahanan di rumah dan mengarahkan mereka kekal di penjara sehingga siasatan polis selesai atas alasan risiko penerbangan.

Ronaldinho bersara daripada dunia bola sepak pada 2018 selepas menempa nama sebagai pemain bola sepak handal di beberapa kelab terkemuka dunia antaranya Gremio, Paris Saint-Germain, Barcelona, Milan dan Atletico Mineiro.
-- Bernama

Kredit gambar - Give Me Sport 
LihatTutupKomentar
Cancel