Usul undi tak percaya PM sama seperti tidak percaya Agong - Hadi


MARANG, 6 Mac -- PAS menyelar tindakan Pakatan Harapan (PH) yang tetap berkeras untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pendirian itu boleh dianggap seperti tidak mempercayai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebagai Perdana Menteri Kelapan. 

Sambil menyifatkan keputusan itu umpama memperkecil-kecilkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi berkata Pas menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri tindak-tanduk dan sikap sebenar pimpinan PH.

"Mereka yang cuba nak ungkit dan buat undi tidak percaya itu tidak percaya kepada Tuanku. Itu perkara penting, tidak percaya kepada Tuanku… tidak percaya kepada Agong.
"Terpulang kepada rakyat untuk menilai mereka," katanya pada sidang media khas di Masjid Rusila di sini, hari ini.     
 
Yang turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Naib Presiden PAS.

Mengulas mengenai pembentukan barisan kabinet negara, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS hanya memberi cadangan berkaitan dasar manakala keputusan berkaitan calon kabinet diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

Abdul Hadi yakin keputusan itu akan mengambil kira banyak perkara termasuk jumlah kerusi parti komponen dalam Perikatan Nasional, termasuk parti yang mewakili Sabah dan Sarawak yang tidak terlibat dalam gabungan berkenaan.

"PAS beri konsep sahaja. Siapa Perdana Menteri nak pilih terpulanglah kepada dia.
"Perlu ambil kira masyarakat majmuk bukan Islam walaupun mereka tak ramai yang menyokong kita iaitu hanya dua kerusi parti MCA sahaja.        

"Cuma saya tegaskan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, anggota kabinet mestilah dari kalangan ahli politik yang berintegriti, bersih, ada kepakaran profesional kerana mahu selamatkan negara," katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh Abdul Hadi ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya dilantik.

Jelasnya, beliau terbuka kepada sebarang keputusan yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri sebagai menghormati mandat dan atas semangat perikatan.

"Kalau saya dipilih tidak mengapa. Kalau tidak dipilih… balik jadi nelayan pun tak apa… tak jadi masalah kerana saya bekerja untuk negara," katanya.             

-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel