2,484 dipanggil ujian saringan mulai esok


KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengenalpasti 2,484 kontak di Bahagian Kuching untuk menjalani ujian saringan mulai esok.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah berkata, jumlah tersebut adalah daripada 6,022 kontak yang dikenal pasti dan seramai 3,538 orang telah menjalani ujian saringan.

Menurutnya,  JKN akan menghubungi kontak-kontak yang telah dikenal pasti tersebut melalui panggilan telefon mulai esok untuk memberi arahan yang perlu mereka ambil tindakan seterusnya.

"Oleh kerana amat penting bagi semua kontak disaring dalam memastikan 
rantaian jangkitan dapat diputuskan dan diharap memberi impak yang positif 
dalam meratakan lengkung, maka, kesemua kontak yang belum lagi 
menjalani ujian saringan tersebut akan dihubungi dan diminta datang untuk 
menjalani ujian saringan.

"Adalah menjadi harapan agar semua kontak berkaitan memberi kerjasama 
yang baik untuk menjawab panggilan telefon yang akan dibuat nanti dan 
mematuhi semua arahan yang diberikan," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, Pasukan Bertindak Pertama mengenai mempercepatkan pendataran Lengkung / Keluk (Gelombang Semasa) atau Accelerating Flattening of the Curve (Current Wave) telahpun menyediakan pelan tindakan dalam usaha mengurangkan kes positif COVID-19 di Sarawak.

Uggah berkata, tindakan pertama yang akan diambil adalah untuk mengenal pasti semua kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang belum disaring agar mereka tampil untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera.

Menurutnya, Pasukan Bertindak akan menjalankan aktiviti mengesan dan mengenal pasti semua kontak di Bahagian Kuching terlebih dahulu, memandangkan 
bilangan yang terbesar terdapat di Bahagian tersebut.
LihatTutupKomentar
Cancel