44 buah Pusat Khidmat buat tempahan bekalan makanan
KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah mula memberikan peruntukan kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semalam dan proses tersebut dijangka selesai pada hari ini.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, semua Pusat ADUN telah diminta untuk membuat tempahan makanan dengan serta merta.
“Setakat hari ini, sebanyak 44 buah Pusat Khidmat telah membuat tempahan bekalan makanan.
“38 buah Pusat Khidmat masih dalam proses berbuat demikian.
“Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak (KPDNHEP) juga telah diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah Pusat Jualan/ Kedai Runcit (Point of Sales – POS) di seluruh Sarawak.
“Semua pusat jualan/ kedai runcit ini telah dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Fatimah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan menambah, semua Jawatankuasa Bencana Bahagian/ Daerah telah selesai mengenalpasti golongan sasaran, Pusat Pengagihan (Distribution Centers), dan modus operandi penghantaran ke setiap rumah dan mengambilkira pematuhan kepada PKP.
Sementara itu, katanya, bagi kawasan pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersetuju untuk membantu penghantaran makanan menggunakan helikopter.
“Jadual penghantaran, pick up point untuk loading dan drop off untuk unloading bekalan makanan asas (essential food items) sedang diurus dan dijangka perkhidmatan akan bemula pada 3 atau 4 April 2020,” ujarnya.