8 jam bertarung nyawa selamatkan diri

KUCHING: Tiga nelayan bertarung nyawa kira-kira lapan jam berenang di laut bagi menyelamatkan diri setelah bot mereka karam di Pulau Lakei akibat cuaca ribut dan laut bergelora pagi semalam.

Menurut salah seorang mangsa yang terselamat, bot mereka karam pada jam 9.30 pagi.

"Kami bertiga telah berenang menuju ke Pulau Lakei dengan berpaut pada dua jaket keselamatan dan tiba di Pulau Lakei lebih kurang jam 5.30 petang,"katanya.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 50 meter sebelum tiba seorang mangsa telah terlepas dan hilang.
Ketiga-nelayan tempatan terbabit turun ke laut jam 7 pagi.

Mangsa yang masih hilang dalam kejadian itu ialah Jamli Masli, 41, manakala yang selamat ialah Masli Rafaee, 64, dan Mohamad Masli, 32.

Pengarah APMM Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan pada jam 6.45 petang semalam.

"Hari ini Pengawal 42 dan Kilat 35 telah keluar melaksanakan pencarian di sekitar perairan Pulau Lakei hingga 15 batu nautika persegi daripada lokasi bot mangsa dipercayai karam dengan keluasan lokasi pencarian seluas 20 batu nautika persegi.
"Pencarian turut disertai oleh bot Pasukan Bomba dan Pasukan Polis Marin dengan membawa seorang mangsa yang selamat bagi menunjukan lokasi bot karam dan lokasi mangsa dilaporkan hilang,"katanya.

Beliau berkata, pencarian pada hari ini turut dibantu oleh 11 buah bot penduduk kampung dan Pasukan Bomba Sukarela Bako Indah dengan membuat pencarian di sekitar Pulau Lakei.

"Setakat ini mangsa masih gagal ditemui.Operasi SAR ditangguhkan jam 5.30 petang ini dan bersambung jam 8 pagi esok,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel