95 individu degil dikompaun
KUCHING: Sebanyak 95 individu degil dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan jumlah keseluruhan 264 orang setakat ini.
Daerah Kuching merekodkan paling ramai dikompaun iaitu 25 orang diikuti Sarikei (21), Kota Samarahan - 14, Betong - 7, Miri - 4, Bau - 4, Simunjan - 4, Saratok - 4 dan Bintulu - 3, Padawan - 2, Kapit - 2, Matu Daro - 2, Sibu - 1, Marudi - 1 dan Lubok Antu - 1.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato' Dev Kumar berkata, peningkatan kompaun tidak bermaksud lebih ramai orang melanggar PKP.
Beliau berkata, tahap pematuhan PKP di Sarawak adalah tinggi, iaitu lebih dari 97%.
"Peningkatan kompaun adalah disebabkan polis sekarang lebih tegas.
"Pada peringkat awal PKP, polis telah mengambil pendekatan memberi nasihat atau amaran sahaja.
"Sekarang dah hampir sebulan PKP dikuatkuasakan. Cukup lah memberi nasihat atau amaran," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, polis akan bertindak tegas sekarang dalam mengeluarkan kompaun atau menangkap orang-orang yang tidak bekerjasama atau menghalang tugas.
Katanya, sebanyak 17 tangkapan dilakukan menjadikan jumlah keseluruhan 573 orang sejak pelaksanaan PKP 18 Mac.