Bantuan bernilai RM100?
KUCHING: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri,Tan Kai menyangkal tuduhan tidak berasas segelintir pihak berhubung bantuan makanan yang disalurkan kerajaan negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
Menurutnya, tuduhan yang mengatakan bantuan makanan yang disalurkan tidak bernilai RM100 untuk satu isi rumah adalah tuduhan liar yang tidak berasas.
"Dalam menyalurkan bantuan makanan kerajaan negeri tidak pernah menetapkan jumlah RM100 untuk satu isi rumah.
"Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan negeri ini adalah tidak betul sama sekali,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah Kuching dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kuching telah memperuntukkan RM200,000 untuk setiap daerah dan dianggarkan 4,000 isi rumah akan mendapat manfaat dari program bantuan itu.
"Oleh itu, berdasarkan peruntukan dana dan pengiraan isi rumah yang bermanfaat, setiap isi rumah akan mendapat pakej barang keperluan bernilai RM50 setiap satu bukannya berdasarkan kiraan RM100 yang dibuat secara melulu,"ujarnya.
Katanya, untuk pengagihan barang keperluan kawasan konstituensi Batu Kawa terdapat sebanyak 8,150 isi rumah yang menerima secara keseluruhan.
"Sejumlah RM400,000 telah diperuntukkan untuk pengagihan bantuan barang keperluan sepanjang PKP setakat ini yang disalurkan kerajaan negeri dan dana ADUN Batu Kawa, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, serta penajaan ahli perniagaan,"katanya.
Beliau berharap agar orang ramai menolak berita tidak betul yang sengaja dibuat oleh beberapa pihak bagi memfitnah kerajaan negeri.