Bom mortar lama ditemui di Pulau Sebang
ALOR GAJAH, 14 April (Bernama) -- Dua butir bom mortar lama jenis 81 milimeter (mm) ditemui di dalam parit tidak berair di kawasan semak berhampiran Rumah Awam Pulau Sebang 2 di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Arshad Abu berkata bom itu dijumpai seorang penduduk perumahan tersebut yang berumur 39 tahun ketika sedang memetik cili di situ yang kemudian memaklumkannya kepada polis pada kira-kira 11.15 pagi.
"Berdasarkan siasatan, kedua-dua bom berukuran 30.48 sentimeter (12 inci) panjang dan ukuran lilit 81 mm dipercayai digunakan semasa peperangan,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata lokasi bom itu dijumpai terletak kira-kira 200 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah, Pulau Sebang.
“Sepasukan polis dari Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka berjaya memusnahkan kedua-dua bom pada 2 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku,” katanya.
-- Bernama
Gambar hiasan