Chong dakwa bantuan belum disalur JKM
KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa bantuan belum disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Menurutnya, pihaknya menerima mesej daripada 1,754 keluarga di Kuching, Stampin, Puncak Borneo, Petra Jaya dan Siniawan yang memohon barangan makanan penting untuk dihantar ke rumah mereka kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, orang ramai telah kehabisan wang membeli makanan untuk keluarga mereka kerana penutupan kegiatan perniagaan dan ekonomi.
"Saya hari ini bertemu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya untuk mendapatkan bantuannya untuk menyampaikan barangan makanan penting kepada keluarga yang telah mendaftarkan permintaan mereka untuk bantuan tersebut.
"Kami berharap kami boleh membekalkan barang makanan kepada mereka secara langsung tetapi sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan sebelum ini, NGO termasuk parti politik, tidak dibenarkan menghantar makanan dari rumah ke rumah, sehingga kami tidak mempunyai pilihan selain melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemohon telah membekalkan nama masing-masing, nombor Kad Pengenalan, alamat dan nombor hubungan untuk dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurutnya, butir-butir pemohon dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tiga kumpulan iaitu 30-3-2020 (238 keluarga), 31-3-2020 (611 keluarga) dan hari ini 1-4-2020 (905 keluarga).
"Pada pukul 2 petang hari ini, ahli kami telah menghubungi hampir kesemua 238 pemohon yang butirannya adalah dalam kumpulan pertama nama yang telah kami sampaikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 30 Mac.
"Tiada seorang pun daripada mereka yang menerima apa-apa barang makanan penting dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Oleh itu, saya tidak mempunyai pilihan selain menulis kepada pejabat Ketua Menteri yang meminta tindakan segera diambil," katanya.
Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengambil tindakan segera untuk menghubungi menteri yang bertanggungjawab bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat (Datuk Seri Fatimah Abdullah) untuk tindakan segera diambil.
"Terima kasih banyak kepada Datuk Amar Douglas Uggah atas tindakannya yang pantas. Kami berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bertindak dengan cepat supaya pemohon dan keluarga mereka tidak akan lapar dalam beberapa hari akan datang," katanya.