COVID-19: TUDM bantu hantar bekalan makanan di pedalaman Sarawak
KUCHING: Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersetuju untuk membantu menghantar bekalan makanan menggunakan helikopter bagi kawasan pedalaman di Sarawak yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata,jadual penghantaran,pengambilan dan pemunggahan bekalan makanan asas bagi kawasan pedalaman sedang diurus dan dijangka perkhidmatan penghantaran akan bermula esok atau 4 April ini.
"Antara kawasan pedalaman yang sukar dilalui jalan darat adalah seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit.
"Pihak TUDM telah bersetuju untuk membantu menghantar bekalan makanan menggunakan helikopter di kawasan ini,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan itu berkata, peruntukan telah mula disalurkan oleh kerajaan negeri kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mulai 1 April lalu dan proses penyaluran selesai semalam.
“Semua pusat ADUN telah diminta untuk membuat tempahan makanan dengan serta-merta.
"Sebanyak 44 buah pusat khidmat telah membuat tempahan bekalan makanan dan 38 lagi masih dalam proses berbuat demikian,"katanya.
Beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri(KPDNHEP) Sarawak juga telah diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah pusat jualan dan kedai runcit di seluruh Sarawak.
“Semua pusat jualan atau kedai runcit ini telah dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.
“Selain itu, setakat 1 April, semua jawatankuasa bencana bahagian dan daerah telah selesai mengenal pasti golongan sasaran, pusat pengagihan dan modus operandi penghantaran ke setiap rumah dan mengambil kira pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Fatimah berkata,Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri,Datuk Amar Awang Tengah Bin Ali Hasan yang bertanggungjawab memastikan bekalan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung adalah sentiasa mencukupi dalam tempoh PKP.
"Ketua Menteri,Datuk Patinggi Abang Johari pada 29 Mac lalu telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM16.4 juta dengan setiap kawasan DUN akan diperuntukkan RM200,000 untuk menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan dalam kawasan mereka.
"Golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada mereka di luar bandar dan pendalaman, bandar miskin, dan mereka yang terputus pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa sekarang.