Cuaca, lokasi dan arus sungai deras cabaran operasi SAR di Nanga Senyuruk
JULAU: Faktor cuaca, lokasi dan arus sungai yang deras menjadi cabaran kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang
setelah lemas apabila bot panjang yang dinaiki bersama dua rakannya karam di Nanga Senyuruk, Ulu Ensiring, di sini, petang Selasa lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata,pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Julau telah bertolak ke lokasi kejadian menggunakan perahu penduduk rumah panjang.
"Pasukan Bomba tidak dapat bertolak kerana hujan lebat dan arus sungai deras dan juga menggunakan perahu penduduk rumah panjang manakala bot yang digunakan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) tidak dapat bertolak kerana bot yang digunakan tidak sesuai dengan sungai berarus deras.
"Perjalanan ke lokasi kejadian dianggarkan sekitar tujuh hingga lapan jam dan perlu bermalam di rumah panjang mangsa di Ulu Ensiring,"katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu,mangsa yang lemas dan masih hilang dikenali Mazian Seliong, 35, manakala dua lagi rakannya selamat berjaya berenang ke tebing dalam kejadian itu.
Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan balik menghantar bantuan makanan dari Sungai Nilau, Ulu Julau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.
