Dua beradik, antara 6 ditahan dadah
KOTA KINABALU, 23 April (Bernama) -- Dua beradik antara enam individu ditahan polis atas kesalahan memiliki dan menyalahgunakan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Likas, di sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berumur antara 23 hingga 29 tahun ditahan di rumah terbabit yang merupakan milik adik-beradik berkenaan.
"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai paket dan bungkusan pelbagai saiz berisi ganja yang disembunyikan di beberapa lokasi berbeza di dalam rumah tersebut. Turut dirampas ganja seberat 56.73 gram dianggarkan bernilai RM567.30.
"Kesemua yang ditahan juga positif mengambil dadah jenis ganja bertujuan untuk berhibur dan menenangkan fikiran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Habibi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 15(1)(A) ADB 1952; dan juga disabitkan dengan kesalahan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam.
Polis Kota Kinabalu akan terus memperhebat operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya ini dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman awam, selain orang ramai turut dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan agar jenayah ini dapat dibendung dengan berkesan, katanya.
-- BERNAMA