Ejen insurans maut kemalangan


MIRI: Ejen insurans maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux di kilometer 7, Jalan Miri By Pass petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa  Lo Ke En, 30, yang cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan disahkan meninggal dunia  jam 4.30 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Miri. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kereta jenis Honda yang dipandu mangsa telah bertembung dengan 4WD.

"Kemalangan  dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang memandu  dari arah Permyjaya menuju ke Lapangan Terbang Miri cuba untuk memotong sebuah kenderaan lain di hadapan. 

"Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu bertembung dengan 4WD yang sedang bergerak laju dari arah  bertentangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,pemandu 4WD berusia 52 tahun hanya mengalami kecederaan ringan sahaja dalam kemalangan itu.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
LihatTutupKomentar
Cancel