Enam lelaki lombong emas semasa PKP didenda RM700
RAUB, 20 April (Bernama) -- Enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang ditahan semasa sedang melombong emas di Hutan Simpan Kekal Tersang, Batu Talam di sini Khamis lepas, masing-masing didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majistret Shahrul Ehsan Hasim yang menjatuhkan hukuman itu selepas mereka semua mengaku bersalah, juga memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 14 hari, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Mereka ialah Lee Ah Nam, 53, Ong Kok Peng, 51, Thong Chee Hoong, 56, Abdul Rahim Sidik, 47, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 20, dan rakyat Myanmar Win Hly, 36.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hutan simpan tersebut pada 12 tengah hari, 16 April, yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 iaitu denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada Jumaat lepas, media melaporkan polis menahan enam lelaki yang disyaki melanggar PKP dengan melombong emas di hutan itu, kira-kira lima kilometer dari jalan utama, yang hanya boleh dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Di mahkamah sama, lapan lelaki berusia antara 32 hingga 52 tahun didenda RM600 atau penjara 10 hari setiap seorang selepas mengaku bersalah melanggar PKP dengan membuka pasar basah.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan sekitar Lot 285 Kampung Gali Tengah di sini, pada 11.40 pagi semalam dan perbuatan itu disedari oleh pasukan polis yang membuat rondaan Ops COVID-19 di kawasan tersebut.
Semua tertuduh yang berasal dari sekitar daerah ini didakwa membuka gerai jualan mereka tanpa permit perniagaan dan gagal memberikan alasan yang munasabah sebab mereka berada di lokasi kejadian.
-- Bernama
Gambar hiasan