IPD Kota Samarahan tangkap 19 ingkar PKP semalam
KOTA SAMARAHAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan melakukan tangkapan 19 individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah itu semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata, tangkapan pertama dilakukan di Taman Unigarden pada jam 5.40 petang, membabitkan enam individu lelaki dalam lingkungan umur 19 hingga 23 tahun.
"Kesemua suspek ditangkap kerana berkumpul dan melakukan aktiviti sukan tanpa sebab yang munasabah,"katanya ketika mengadakan sidang akhbar di IPD Samarahan di sini, petang ini.
Katanya, tangkapan kedua dilakukan pada jam 6.10 petang di Taman Merdang Gayam membabitkan lima orang suspek lelaki dalam lingkungan umur 13 sehingga 34 tahun kerana berkumpul tanpa sebab yang munasabah.
"Lapan lagi yang terdiri lima lelaki dan tiga perempuan ditangkap di tempat berasingan kerana turut ingkar PKP,"ujarnya.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan ke atas 19 suspek.
"Kesemua suspek akan dituduh di mahkamah apabila siasatan selesai dijalankan dalam masa terdekat,"ujarnya.
Lee berkata, secara keseluruhannya IPD Samarahan melakukan sebanyak 145 tangkapan dan dikompaun sejak PKP dimulakan pada 18 Mac lalu setakat ini.
"Kita turut membuat penguatkuasaan di Bank Simpanan Nasional(BSN) Kota Samarahan semasa pembayaran Bantuan Prihatin Nasional(BPN) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang(BKSS) bermula 17 April lalu.
"Pihak polis turut memastikan orang ramai mematuhi penjarakan sosial semasa melakukan urusan di bank,"katanya.