JAS tangkap lima kontena bateri dari Australia

SHAH ALAM, 3 April -- Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggagalkan cubaan mengimport lima kontena mengandungi bateri asid plumbum terpakai dari Australia di Pelabuhan Klang, dekat sini pada Isnin lepas.

Kementerian itu dalam kenyataannya memaklumkan bahawa maklumat mengenai cubaan import buangan berbahaya itu diperoleh daripada Kerajaan Australia dan penahanan kontena berkenaan dilakukan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang dan Westports Malaysia Sdn Bhd. 

“Bateri asid plumbum terpakai itu diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai Buangan Terjadual Buangan Bateri Asid Plumbum, kod SW 102, mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Siasatan ke atas penerima turut mendapati alamat dalam rekod penghantaran adalah palsu dan ia dilakukan tanpa kelulusan JAS yang bertindak sebagai Pihak Berkuasa Konvensyen Basel bagi Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu pengimportan buangan berbahaya itu diklasifikasikan sebagai import haram seperti yang tertakluk dalam Artikel 9 Konvensyen Basel.

Justeru, satu notis arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan JAS kepada syarikat perkapalan terbabit supaya menghantar semula kontena berkenaan ke negara asalnya, Australia.

“Kejayaan menggagalkan cubaan membawa masuk buangan berbahaya secara haram itu adalah hasil kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia bagi membanteras bahan berkenaan merentasi sempadan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas maklumat berkenaan yang disalurkan oleh Kedutaan Besar Australia di Malaysia.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel