JAWI laksana akad nikah secara sidang video buat pertama kali
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Buat julung kalinya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melaksanakan majlis akad nikah bagi sepasang pengantin secara sidang video.
Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata perkara itu adalah selaras dengan ketetapan baharu JAWI semalam yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang telah memperolehi kebenaran berkahwin daripada pihak berkuasa agama itu, untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan yang telah ditetapkan melalui laman web www.jawi.gov.my.
“Ia juga selari dengan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-97 yang bersidang pada 15 hingga 17 Dis 2011, yang memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Mohd Ajib berkata, urusan lain seperti permohonan kebenaran berkahwin untuk pasangan yang belum lagi mendapat kebenaran berkahwin, pendaftaran nikah, cerai, rujuk, dan kursus praperkahwinan Islam ditangguhkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
“InsyaAllah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran, kita semua akan dilindungi Allah SWT dan berjaya membendung penularan wabak COVID-19,”katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkongsi pandangan mengenai majlis akad nikah pasangan berkenaan melalui laman Facebooknya.
Majlis akad nikah secara sidang video itu adalah yang pertama di negara ini membabitkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Shariff.
“Alhamdulillah, dengan garis panduan yang disediakan oleh JAWI yang berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
“Menariknya, tempoh masa yang diambil kurang dari 15 minit. Usaha ini selari dengan keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang membenarkan majlis akad nikah secara dalam talian,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JAWI atas usaha dan kejayaan bagi membantu pasangan berkenaan.
“Selamat Pengantin Baharu Don Haadi dan Nahdatul Aishah. Moga berbahagia hingga ke syurga. Saya ingin mengucapkan tahniah atas insiatif JAWI dan semua pihak yang terlibat dalam majlis yang bersejarah ini,” katanya.
--Bernama
Kredit Gambar Facebook JAWI