Kementerian Wanita ada SOP NGO salur bantuan
KUALA LUMPUR, 1 April -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kementerian itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan aktiviti penyaluran yang dilaksanakan mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Beliau berkata tujuh SOP telah digariskan, antaranya NGO yang terlibat mesti berorientasikan kebajikan dan perlu menghubungi Bilik Gerakan JKM negeri sehari sebelum aktiviti penyaluran sumbangan.
"Hanya barangan kering dan bermasak sahaja dibenarkan untuk disalurkan selain anggota NGO terlibat mesti memakai penutup hidung dan mulut serta sarung tangan serta membawa cecair pembasmi kuman ketika aktiviti pengagihan sumbangan," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Rina berkata suhu badan anggota NGO perlu diperiksa dengan yang bergejala tidak dibenarkan terlibat manakala mereka yang terlibat perlu menjaga jarakan sosial.
Beliau berkata aktiviti penyaluran hanya terhad kepada dua anggota NGO dan mereka perlu disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Rina berkata pihaknya amat menghargai hasrat NGO untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan penyaluran sumbangan kepada rakyat dapat dilakukan secara lebih efektif.
Katanya NGO yang berminat boleh menghubungi talian Bilik Gerakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri yang beroperasi 24 jam.
--Bernama