Musuh Kita 'Halimunan', Utamakan Kesihatan Dan Keselamatan Diri

SIBU: Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020 menunjukkan kerajaan Malaysia memandang serius ancaman wabak COVID-19.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata, ianya sangat jelas PKP dilaksanakan dengan tujuan memutuskan rantai penyebaran wabak pandemik Covid-19.

"Saya terpanggil untuk memperingatkan kita tentang bahayanya wabak pandemik Covid-19 apabila terbaca di sebuah portal berita online tempatan di mana kejadian berlaku apabila lebih 100 penduduk yang berbaris menunggu bantuan keperluan asas di hadapan sebuah Pusat Khidmat tanpa menghiraukan arahan PKP dan situasi ini boleh menyebabkan penularan wabak pandemik Covid-19.

"Orang ramai kelihatan beratur bersesak-sesak menunggu, beranggapan bantuan akan diagihkan dan mereka kemudian menyerbu kakitangan yang sedang menyusun barang.

"Saya menggesa pihak yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara  wajib mempertingkatkan aspek kawalan keselamatan dengan menyediakan alat saringan suhu badan, dan mengambil suhu badan, sekiranya suhu badan melebihi paras biasa, pihak tersebut hendaklah menghubungi Pejabat Kesihatan dan Hospital yang terdekat," katanya.

Beliau amat berharap pihak tersebut hendaklah menyediakan sanitizer di pintu masuk dan tempat-tempat yang berkaitan.

Selain memastikan garis panduan amalan terbaik melaksanakan jarak antara satu sama lain atau social distancing dipraktikkan.

"Kita sedar masalah kesulitan yang sedang dihadapi tetapi hendaklah sentiasa beringat untuk mengutamakan keselamatan diri. 

"Pada masa yang sama kita tidak sedar bahawa kita sedang melawan musuh halimunan yang tidak dapat dilihat boleh menyebabkan kematian," tambahnya.

Jugah berharap setiap rakyat harus mengambil tanggungjawab sendiri untuk mencegah jangkitan COVID-19 ini dan sentiasa ingat bahawa virus ini boleh berjangkit melalui sentuhan dan tidak melalui udara.

"Amalkan guna topeng muka jika anda di tempat awam akan mengawal atau mengelakkan jangkitan COVID-19.

"Pada saat yang mencabar akibat wabak virus COVID-19, saya menggesa supaya kita semua memberi kerjasama serta sokongan padu kepada warga Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Hentikan rantaian penularan COVID-19, penjarakkan sosial dan duduk di rumah serta patuhi PKP," jelasnya.



LihatTutupKomentar
Cancel