Perkongsian masak apa tak jadi antara normal baharu di Facebook

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) – Bukan hanya menjadi platform 'hiburan' tetapi sebenarnya ia adalah untuk memberi motivasi selain membina keyakinan diri kepada rakan-rakan yang baharu berjinak-jinak dalam dunia masakan.

Itulah objektif utama penubuhan kumpulan baharu iaitu ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official’ (MATJHN) di Facebook yang menjadi sohor kini dalam kalangan pengguna media sosial, di negara ini.

Salah seorang daripada tujuh pengendali MATJHN, Elda Shazreena Azman, 38, berkata secara tidak langsung, kewujudan laman berkenaan turut membantu menghilangkan tekanan atau kebosanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Idea asal penubuhan MATJHN tercetus daripada salah seorang pengendali kumpulan ini iaitu Dlaila Norlaila yang sering berkongsi resipi dan hasil masakannya dalam kumpulan masakan yang popular.

Namun, hantarannya itu kurang mendapat sambutan menyebabkannya terfikir apa salahnya berkongsi hasil masakan yang kurang menjadi sebagai proses pembelajaran kepada semua orang," kata Elda ketika dihubungi Bernama.
 
Menariknya, MATJHN bukan sahaja mendapat perhatian majoriti netizen, malah perkongsian gambar hasil masakan dan video memasak yang kurang menjadi seakan-akan menggambarkan satu kebiasaan baharu kepada pengguna Facebook dalam berkongsi pengalaman lucu mereka ketika memasak.

Antara yang mendapat perhatian netizen ialah melalui perkongsian pengguna Facebook Mohd Aizal yang cuba menunjukkan kemahiran memasak 'gulai (kari) ayam gaya mamak' tetapi tersalah menggunakan serbuk kunyit sebagai rempah kari sehingga mencecah lebih 42,000 'like' dan lebih 1,000 'share'.

"Kami menerima kira-kira 5,000 permintaan untuk menjadi ahli kumpulan dalam masa lima hingga 10 minit tidak kira jantina. Mungkin ia menjadi tarikan selari dengan trend orang ramai yang ingin mencuba pelbagai resipi semasa PKP ini,” kata Elda Shazreena.

Seorang lagi pengendali MATJHN, Saifurdin Salleh , 42, berkata ahli kumpulan itu sudah melebihi satu juta pengguna Facebook dalam tempoh seminggu sejak diwujudkan pada 14 April lepas. Malah, lebih mengejutkan terdapat segelintir ahli yang bukan warganegara turut menyertai kumpulan itu.

“Pada awalnya kami cuma sasar 100,000 ahli dalam masa lima hari tetapi tak sangka dapat sambutan hangat, jadi kami naikkan sasaran ke sejuta ahli dan sekarang kami sasarkan lima juta ahli menjelang Ramadan.

“Permintaan orang ramai untuk jadi ahli kumpulan ini mula melonjak naik pada Jumaat lepas. Ia seakan-akan satu fenomena luar biasa,” katanya.

Saifurdin berkata secara anggaran kumpulan itu menerima lebih 100 perkongsian dalam sehari daripada ahli-ahli kumpulan itu sehingga kesemua pengendali MATJHN ‘tak menang tangan’ menguruskannya.

“Boleh dikatakan kami sebagai pengendali , akan memantau 24 jam dan terpaksa buat giliran sebab nak pastikan setiap hantaran tiada unsur negatif atau kecaman,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli kumpulan atau pengikut, Siti Shafiah Abdul Rahim, 30, mengakui kewujudan MATJHN sangat menghiburkan hati masyarakat di kala semua sedang serius menghadapi tempoh PKP. 

"Siapa sangka, pengendali mempunyai idea yang bernas. Walaupun hanya bersifat santai dan menghiburkan tetapi ia juga membantu meningkatkan keyakinan seseorang yang kurang pandai memasak," katanya. 
 
Katanya, keadaan itu juga membuatkan penjawat awam itu bersikap lebih terbuka untuk berkongsi hasil masakannya yang tidak menjadi. 

"Paling tidak, saya dah tak segan nak berkongsi masakan saya, tak adalah kena kecam dengan orang yang pandai masak, sebab saya dah jumpa geng yang sama," katanya yang turut berkongsi 'nasib' kuih tepung pelitanya di kumpulan berkenaan.

Turut berkongsi pandangan sama, seorang tukang jahit dari Pasir Gudang, Johor, Zarina Khamis, 46, yang menyifatkan halaman tersebut sebagai satu cara mengurangkan rasa bosan dan tekanan kerana terpaksa duduk di rumah.

Biarpun ia menjadi bahan lawak, rata-rata pengikut turut memberi sokongan dan galakan selain sama-sama berkongsi pengalaman masing-masing. 

"Jujurnya, ia sangat menghiburkan. Hampir semua hantaran buat saya ketawa. Semuanya sangat sporting dan komen pun baik-baik sahaja. 

Tidak mengutuk atau mengecam," katanya yang turut berkongsi kuih dorayaki buatannya yang tidak menjadi. 
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel