Polis rampas lebih 20kg heroin


TAIPING, 13 April (Bernama) -- Polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 20.02 kilogram bernilai RM264,000 dalam dua tangkapan di sini, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 20-an dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semasa menjalankan Op COVID-19 pada 6.30 petang.
Katanya, kedua-dua lelaki itu memandu kereta secara berasingan iaitu Toyota Vios dan Proton Wira di Jalan Kuala Kangsar-Taiping dan Taman Sri Kota di sini.

"Pemeriksaan ke atas Toyota Vios menemukan 20.02 kilogram dadah jenis Heroin yang disembunyikan di bawah lapik kaki di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan mereka dibawa ke balai untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di sini, hari ini. 

Goh berkata hasil daripada tangkapan pertama membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki juga berusia lingkungan 20-an di Taman Sri Kota dan polis berjaya menyita tiga kereta, seutas rantai emas berserta loket dan sebentuk cincin emas dengan anggaran nilai keseluruhan RM89,900.

Beliau berkata semua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis tidak menolak kemungkinan mereka terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.

Katanya suspek yang merupakan penganggur, pemandu lori dan peniaga juga disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel