Polis sahkan tangkapan tiga lelaki

Kuching :Polis mengesahkan kejadian tiga lelaki ditahan di Jalan Depo, Petra Jaya, di sini, yang viral di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kejadian berlaku jam 1.10 petang semasa sepasukan anggota polis yang membuat rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Central Timur yang mana telah melihat sebuah kereta jenis Perodua Rusa berwarna biru dan bercermin gelap yang melalui Jalan Central Timur. 

"Kenderaan berkenaan di arah berhenti untuk pemeriksaan tapi terus dipandu laju dan tidak berhenti . 

"Bantuan telah diminta dari Pusat Kawalan Kuching untuk menahan kenderaan berkenaan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kenderaan berkenaan telah mengelak dari ditahan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub oleh pasukan bantuan yang mana hampir melanggar salah sebuah kenderaan polis yang cuba menahannya.

"Seterusnya kenderaan dikejar sehinggalah di  Jalan Depo Petra Jaya yang mana kenderaan tersebut berjaya disekat dan tiga orang lelaki telah keluar dari kenderaan berkenaan untuk melarikan diri dan salah seorang mencampakkan sesuatu sambil cuba melarikan diri.

"Apabila semua dapat ditahan polis telah menjumpai beg yang dicampak oleh salah seorang suspek dan dengan disaksikan suspek tersebut semasa diperiksa beg tersebut mengandungi empat paket  ketulan kristal disyaki sejenis dadah,"ujarnya.

Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan menemui satu topeng dan satu pistol tiruan.

"Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

"Suspek merupakan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 33 tahun dan kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan curi,"katanya.

Katanya,kesemua suspek akan disiasat kerana melanggar PKP dan lain lain kesalahan termasuk dadah.
LihatTutupKomentar
Cancel