RM2.3 juta bantu selesai masalah lambakan
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah besar RM2.3 juta bagi membantu para petani dan nelayan dalam menyelesaikan masalah pasaran lambakan hasil pertanian dan tangkapan ikan dan memastikan sumber pendapatan mereka tidak terjejas.
Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, bagi golongan petani, sejumlah RM1.7 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
"Di bawah program ini, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak (DOA Sarawak), 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membeli lambakan hasil ladang yang tidak dapat dijual secara borong dan menjual kembali di pasaran.
"Ini adalah bertujuan untuk memastikan kesinambungan rantaian bekalan makanan di Sarawak," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PPK telah memainkan peranan yang proaktif sebagai pemborong dalam mengimbangi pasaran bekalan dan permintaan di antara Bahagian.
"Sebagai contoh, baru-baru ini Bahagian Bintulu mengalami masalah kekurangan hasil pertanian untuk dipasarkan, namun PPK yang beroperasi di Bahagian Sarikei dan Bahagian Miri telah mengambil tindakan proaktif dengan menghantar bekalan hasil pertanian untuk dipasarkan di Bahagian Bintulu.
"Ini amat penting bagi memastikan ekosistem bekalan dan permintaan makanan akan sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang," katanya.
Beliau berkata, sejumlah 39 tan hasil pertanian yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran dedaun dan buah telah dibeli dari lebih daripada 30 orang petani dengan nilai yang mencecah RM90,000 setakat 11 April.
Menurutnya, maklum balas dari para petani berkenaan dengan pelaksanaan program ini juga sangat memberangsangkan.
Katanya, ekoran dari program ini, PPK bersama FAMA telah menjalinkan kerjasama melalui program “Jualan Terus Dari Ladang”.
"Inisiatif ini melibatkan pembelian lambakan hasil pertanian oleh PPK, manakala FAMA akan menyediakan kemudahan pemasaran di kawasan yang strategik untuk tujuan pemasaran hasil pertanian kepada orang awam dan pemborong.
"Inisiatif ini juga menyediakan ruangan untuk menghubungkan para petani dengan pemborong," katanya.