Selangor lancarkan E Bazar Raya

SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melancarkan inisiatif dalam talian ‘E-Bazar Raya Selangor’ bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro di negeri ini memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif dengan kerjasama platform e-dagang Shopee, bakal menawarkan peluang kepada usahawan terlibat memasarkan produk mereka secara dalam talian bagi menjana pendapatan pada musim perayaan.

Pada masa sama, inisiatif itu juga akan memudahkan masyarakat mendapatkan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri antaranya kuih-muih, kelengkapan rumah dan pakaian dalam pelbagai pilihan dengan harga yang murah.

“Shopee adalah platform e-dagang yang popular di negara ini dan turut beroperasi di tujuh negara Asia Tenggara. Shopee Malaysia kini mempunyai 800,000 penjual aktif.

“Aplikasi Shopee Malaysia dimuat turun lebih daripada 20 juta kali dan laman sesawangnya dilayari oleh 29 juta pengunjung setiap bulan. Kerajaan Negeri Selangor bekerjasama dengan pihak swasta yang berwibawa dan efisien demi mencapai tujuan membantu usahawan PKS,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagi merancakkan lagi perniagaan menerusi insiatif itu, kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan RM1 juta dalam bentuk baucer diskaun manakala Shopee pula menawarkan pakej pemasaran, latihan dan sumber sepadan selain pakej yang diumumkan platform itu sebelum ini untuk membantu peniaga PKS.

Amirudin berkata, E-Bazar Raya Selangor akan dilaksanakan selama dua bulan bermula Mei ini dan melibatkan 2,000 peniaga dalam talian sedia ada selain disasarkan untuk membantu 3,000 peniaga konvensional menyertai platform e-dagang.

“Kesemua peniaga ini daripada program usahawan Kerajaan Negeri Selangor seperti HIJRAH, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SITEC Online 100 dan Agro Selangor.

“Namun, bagi peniaga yang tidak mengikuti program usahawan kerajaan negeri sebelum ini, mereka layak untuk menyertai inisiatif E-Bazar Raya Selangor secara percuma. Peniaga yang berminat boleh berdaftar di http://tiny.cc/selangorebazar,” katanya.

Amirudin berkata, Shopee juga akan menyediakan satu laman istimewa untuk mempromosikan produk peniaga E-Bazar Raya Selangor melalui kaedah ‘livestream’, ‘shocking sales’, pemberian baucer dan penghantaran percuma bagi jumlah pembelian lebih RM19.

Beliau percaya inisiatif E-Bazar Raya Selangor mampu membantu usahawan mikro dan PKS di negeri ini memulihkan ekonomi mereka sekaligus merancakkan lagi program transformasi digital untuk kedua-dua jenis perniagaan itu.

-- BERNAMA


LihatTutupKomentar
Cancel