Sesi sekolah tangguh hingga pulih COVID-19

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan akan ditangguhkan sehingga kerajaan benar-benar yakin negara kembali pulih daripada wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelajar sekolah bagaimanapun masih perlu meneruskan pembelajaran di rumah.

“Saya telah meminta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Pembelajaran ini mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehingga sekolah dibuka,” katanya dalam Perutusan Khas COVID-19 di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, berkata kerajaan juga prihatin terhadap kebimbangan ramai ibu bapa yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan.

Dalam pada itu katanya, beliau meminta rakyat supaya membiasakan diri dengan kehidupan normal atau kebiasaan baharu.

Katanya, apa yang biasa dibuat dahulu, tidak boleh dilakukan lagi bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan the new normal atau kebiasaan baharu.

“Contoh mudah, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan apabila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ia dianggap janggal atau tak beradab.

“Namun, sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan apabila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah the new normal atau kebiasaan baharu,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel