Jari tersangkut pada lubang sinki
JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mersing berjaya membantu mengeluarkan jari tangan seorang kanak-kanak lelaki yang tersangkut pada lubang sinki di rumahnya di Kampung Sawah Dato’ dekat Mersing, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussien berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada pukul 11.36 malam menerusi talian MERS 999.
“Seramai 10 anggota bomba bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke rumah Mohd Asyraf Hakimi Abd Rahman, 6, dan mendapati jari tangan kanan kanak-kanak itu tersangkut pada lubang sinki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anuar berkata anggota bomba kemudian berjaya mengeluarkan jari kanak-kanak itu selepas memotong lubang sinki berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.
Operasi tamat pada pukul 12.07 tengah malam, katanya.
-Bernama