17 ditahan positif dadah di Miri

Miri: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri menahan seramai
 17 individu berumur 19 hingga 56 tahun positif dadah dalam Operasi Cegah PKP di kawasan One Stop Committee (OSC) Daerah Miri dan Subis dalam operasi bermula 15 Mei berakhir semalam.

Ketua Daerah AADK Daerah Miri, Mazlan Jikran berkata, bertindak atas maklumat orang awam, AADK telah menahan sembilan orang individu lelaki, berumur 19 hingga 56 tahun di kawasan kampung Tukau, Taman Tunku, Senadin, Permyjaya, Tudan, Taman Hilltop dan Lambir. 

"Seramai lapan orang daripada yang ditahan positif dadah jenis syabu dan seorang positif ganja,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,dalam operasi berasingan di Daerah Subis, melibatkan kawasan Kampung Opak, Kampung Satap, Kampung Hunai, Kampung Danau dan kawasan Niah, AADK telah menahan seramai lapan orang lelaki, berumur 19 hingga 45 tahun. 

"Ujian saringan awal, kesemua mereka positif dadah jenis syabu,"katanya.

Beliau berkata,dalam operasi cegah tersebut, seramai 20 orang telah diperiksa dan 17 orang daripadanya ditahan kerana positif dan disyaki penagih dadah,kes disiasat Pegawai Penyiasat AADK Miri,Harni Tani.

"Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. Jika sabit kesalahan boleh diperintah menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan atau pengawasan dalam komuniti,"jelasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel