4 warga Sarawak ditangkap ceroboh Brunei
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala berkata, ini kerana sukar untuk mengetahui titik sempadan negara ketika berburu di hutan.
“Saya telah memberitahu tuai-tuai rumah yang tinggal berdekatan sempadan negara untuk menasihat penduduk di rumah masing-masing jangan berburu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas empat penduduk Rumah Adang, Sungai Ridan Marudi yang ditahan tentera Brunei Darussalam selepas mereka ditangkap ketika berburu di sempadan Brunei-Ulu Teraja pada 16 April lalu dibebaskan dan selamat tiba di Miri pada petang 9 Mei.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dipetik berkata, keempat-empat mereka, Lapo Umpai, 60, Hardy Buun, 51, Robert Pangin Kilong, 39, dan Peter Lapo, 29, ditangkap pihak berkuasa Brunei pada 16 April lalu kerana berburu di sempadan Brunei-Ulu Teraja.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah, mereka berjaya dibebaskan hasil kerjasama diplomatik yang sangat baik melalui Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra dan pihak Kedutaan Malaysia di Bandar Seri Begawan dengan pihak berkuasa di negara berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada kepada Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pegawai Kedutaan Malaysia di Brunei.”
“Penghargaan juga kepada pihak berkuasa Brunei yang membantu membebaskan dan menguruskan penghantaran pulang keempat-empat rakyat Sarawak tersebut,” katanya.