86 mat rempit bising ditangkap
BATU PAHAT, 28 Mei (Bernama) -- Tindakan 86 mat rempit yang mengganggu ketenteraman awam serta melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membawa padah apabila mereka ditahan di Jalan Seri Dayung, Sri Medan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata kumpulan mat rempit itu ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat yang diketuai ASP Ahmad Khairi Roslan.
Beliau berkata melalui Op Motosikal dan Pematuhan PKPB COVID-19 yang dilaksanakan bermula 2 petang hingga 11.30 malam tadi, pihaknya mendapati kumpulan itu yang kebanyakannya remaja berusia antara 15 dan 19 tahun berkumpul tanpa tujuan, selain mengganggu ketenteraman awam.
“Kumpulan remaja dan mat rempit ini melakukan gangguan dengan bunyi ekzos motosikal masing-masing selain menunggang motosikal dalam keadaan yang boleh mendatangkan bahaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azhan berkata kesemua 86 motosikal turut dirampas dan dibawa ke Balai Polis Sri Medan.
"Sebanyak 151 notis saman turut dikeluarkan kepada mereka atas pelbagai kesalahan. Kebanyakannya tidak mempunyai lesen memandu dan menunggang motosikal tanpa (memakai) topi keledar.
Selain itu, sembilan daripadanya dikompaun atas kesalahan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.
-- BERNAMA