Bot ekspress Kuching-Sibu masih belum beroperasi
SARIKEI: Bot ekspress Bahagia No 1 dan Bahagia No 8 masih belum dibenarkan beroperasi menurut Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)
Berikutan daripada lanjutan PKPB, pengusaha bot ekspress dari Kuching-Sarikei-Sibu dan berulang alik hanya akan beroperasi setelah mendapat kebenaran daripada LSS.
Bagaimana pun jadual perjalanan bot ekspress dan had penumpang akan dikaji semula mengikut pematuhan operasi yang dibenarkan seperti yang termaktub dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
Manakala pada Sabtu lepas, satu posting menjadi viral di Facebook mengenai kenaikan tambang bot ekspress untuk laluan Tanjung Manis - Sarikei - Tanjung Manis dinaikkan dari RM10 menjadi RM15 oleh pengusaha bot berkenaan.
Lembaga Sungai Sungai Sarawak memandang serius aduan orang ramai mengenai kenaikan bot ekspress berkenaan.
Menurut pemangku Lt (Rtd) Ding Tiew Wong ketika dihubungi berkata LSS Sarikei telah pun menyiasat perkara tersebut dan notis daripada LSS telah dikeluarkan.
"Sebarang kenaikan tambang oleh operator bot atau penguasa tanpa kelulusan berwajib dari pihak berkuasa akan dikenakan tindakan" kata Ding.
Sementara itu, terdapat aduan berkenaan tambang bot laju dari Pulau Bruit-Daro-Sarikei turut dinaikkan sebanyak RM5.
Aduan tersebut mendapat pelbagai reaksi dari pengguna bot dengan beberapa orang berpendapat bahawa kenaikan tambang adalah disebabkan untuk menampung kos operasi semasa PKPB.
Kebiasaannya bot mampu membawa 40 penumpang namun dihadkan kepada 20 orang dalam satu masa perjalanan kerana prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekalkan kedudukan jarak sosial penumpang bot.