Debak perlukan solusi banjir
DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam mengharungi banjir bersama penduduk meninjau dari dekat masalah penduduk kampung.
Rumah wakil rakyat berasal dari kampung Debak itu sendiri turut terjejas akibat banjir kilat setiap kali bencana itu berlaku.
Radzi meminta Kerajaan Sarawak untuk bertindak dengan lebih drastik dalam menangani isu banjir kilat yang menjadi masalah utama penduduk Debak di sini.
Beliau mengharapkan ada peruntukan khas bagi menangani permasalahan yang sering berulang apabila berlaku hujan lebat disusuli air pasang besar.
"Keadaan ini amat merunsingkan penduduk yang menjadi mangsa dan seakan tidak berpenghujung.
"Lebih menyedihkan ianya memberi kesan kepada Kampung Babu, Bungey, Lalang dan Debak Laut dan memberi kesan yang mendalam kepada mangsa.
"Selain penduduk menjadi trauma, ianya juga melibatkan isu keselamatan penduduk dan kemusnahan harta benda.
Beliau yang berkesempatan turun padang ditanya berhubung kejadian banjir kilat yang berlaku di sini.
Tambahnya, beliau akan membawa perkara tersebut terus kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan meminta keutamaan dalam isu terbabit.
"Kita berharap Kerajaan Sarawak dapat menyediakan peruntukan khas dan memberi keutamaan terhadap apa yang berlaku di Debak ini.
Jelasnya lagi, isu yang sama telah dimajukan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
"Dalam masa yang sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong memang telah merancang satu pelan untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda rangkaian perkampungan Melayu di Debak.
"Saya difahamkan bahawa kertas kerja juga sudah dikemukakan kepada pihak atasan yang mana terdapat tiga tindakan yang sedang menunggu persetujuan kerajaan selain usaha untuk melebar dan mendalamkan Sungai Rimbas," katanya.
