Hotel dilarang adakan buffet
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan memutuskan untuk membenarkan operasi hotel bermula semalam namun sejumlah kegiatan masih dilarang termasuk buffet Ramadan.
Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tetamu dikehendaki tinggal di dalam bilik masing-masing dan tidak dibenarkan berkumpul di premis hotel semasa penginapan.
“Restoran dan kafeteria dibenarkan beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 10 malam dan terhad untuk bawa pulang (take away), penghantaran ke bilik dan ala carte dengan penjarakan sosial.”
“Manakala aktiviti yang kekal dilarang ialah gimnasium, kolam renang, surau, sauna, spa, pusat perniagaan, dewan persidangan dan bilik mesyuarat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Hotel dan rumah penginapan yang beroperasi dihendaki mematuhi standard operasi (SOP) yang dikeluarkan kerajaan sebelum ini.
Selain itu, kakitangan hotel harus menyediakan pensanitasi tangan selain memastikan penjarakan sosial di kalangan tetamu dan penggunaan pelitup muka dan hidung sepanjang masa.
Abdul Karim menambah, bagaimanapun hotel yang diwartakan sebagai stesen kuarantin tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk pelanggan melaikan status tersebut sudah ditarik balik dan diberi notifikasi.
Selain itu, pengurusan hotel dikehendaki melaporkan kepada Jabatan Kesihatan dengan segera sekiranya terdapat tetamu atau kakitangan mempunyai jangkiitan COVID-19.
Keterangan lanjut mengenai operasi hotel semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh didapati dengan melayari mtac.sarawak.gov.my.