Imam muda sedekah Nasi Ayam Berempah
KOTA SAMARAHAN, 15 Mei: Sempena Ramadan ini seorang bekas imam masjid, Mohd Ali Jainneh, 30, melakukan amal ibadah dengan memberikan hidangan nasi lemak ayam berempah secara percuma bernilai RM1,000 kepada orang ramai yang memerlukan bagi berbuka puasa.
Berikutan itu, gerai dibukanya di Lorong 12B 5, Taman Desa Ilmu telah menyaksikan orang ramai berbaris panjang petang semalam dan hari ini bagi mendapatkan nasi lemak terbabit atau membeli hidangan berbuka lain.
"Pemberian nasi lemak secara percuma ini adalah ilham saya sendiri bagi beribadah ketika bulan Ramadan ini. Kos setiap nasi lemak ini ialah sebanyak RM5 sebungkus," katanya yang merupakan bekas imam Masjid Darul Ulum di Taman Desa Ilmu, di sini, hari ini.
Ali yang berasal dari Sabah berkata sebanyak RM1,000 akan dibelanjakan bagi menyediakan nasi lemak percuma terbabit yang sekitar 200 bungkus setiap hari dengan perbelanjaan itu juga dari sumbangan rakan kenalannya.
Sehubungan itu, beliau berazam memberikan nasi lemak percuma terbabit sehingga 23 Mei depan dan juga akan menambah bungkusan nasi lemak terbabit sekiranya lebih ramai pihak sudi menderma menanggung kos penyediaannya.