Kayu balak bernilai RM628,328 dirampas
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak berjaya merampas sebanyak 3,712 atau 4,825.6 meter padu kayu balak pelbagai saiz dan spesies yang dianggarkan bernilai RM627,328 berdasarkan kadar royalti dan cess semasa.
Rampasan melibatkan beberapa lokasi utama di Bahagian Sibu, Samarahan, Tatau dan Bintulu Water Catchment di Bahagian Bintulu, serta Zon Buffer di Daerah Lawas.
Turut dirampas ialah dua buah jengkaut, sebuah lori serta pelbagai peralatan lain yang digunakan bagi melaksanakan aktiviti haram berkenaan.
Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad berkata, dalam operasi yang dilancarkan sejak 13 April lalu tersebut, seorang suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Operasi ini yang melibatkan beberapa siri pemantauan melalui udara dan penguatkuasaan melalui daratan dan air telah berjaya mengesan dan mematahkan beberapa siri pencerobohan dan pembalakan haram,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Hutan Sarawak mengambil maklum ada sesetengah pihak di luar sana yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan pembalakan haram dengan sewenang-wenangnya sepanjang tempoh PKP ini.
Menurutnya, mereka beranggapan bahawa Jabatan Hutan Sarawak tidak melakukan sebarang kawalan ataupun operasi penguatkuasaan.
"Tanggapan ini adalah meleset sama sekali kerana Jabatan Hutan Sarawak mempunyai pelbagai peralatan moden dan kakitangan yang mencukupi untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan serta mengawasi setiap inci hutan di negeri.
”Pergerakan-pergerakan serta modus operandi yang cuba dilakukan oleh penyangak hutan sebenarnya telahpun dikesan terlebih dahulu oleh Jabatan Hutan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperkasakan lagi operasi ini dengan menggunakan pelbagai peralatan moden yang lain bagi memastikan kegiatan haram ini dapat dikawal dan dibendung sepenuhnya.
Beliau berharap, orang ramai dapat menyalurkan maklumat dengan segera kepada Jabatan ini sekiranya terdapat aktiviti pembalakan yang meragukan berlaku di kawasan mereka.